Realiti sekarang adalah dunia yang sengit dengan perlbagai dugaan. Setiap penjuru diserang bertalu-talu. Sebut sahaja islam bermacam-macam fikrah terpapar. Jumud, ekstremis, melanggar hak asasi, dan pelbagai idelogi direka. Tambahan pula berlaku berbagai pergolakan sesama negara muslim menyemarakkan lagi lapangan pemahaman islam. Sedarkah anda bahawa tulisan-tulisan juga menjadi propaganda terhebat masa kini?
Semakin lama dalam dunia sastera, saya semakin faham mengapa warga dahulu menjadikan medan penulisan satu wadah penyebaran agama islam. Semakin banyak sejarah yang saya temui dalam menjelaskan bahawa peradaban pena melayu sudah wujud sejak puluhan tahun dahulu. Manuskrip lama yang disimpan dalam arkib kajian negara luar telah membuktikan melalu terjemahan kembali dalam bahasa moden bahawa penyebaran islam ini sudah bertapak.
Tidak dinafikan bahawa melalu kembara ini anak melayu sudah merantau di beberapa tempat didunia ini. Lebih terharu apabila hasil kajian yang diterjemahkan menyatakan bahawa islam adalah pegangan hidup mereka. Kita tidak dapat menjejaki mereka lantaran berlaku pelbagai situasi yang menghalang. Antaranya identiti anak bangsa yang telah ditukar kepada bangsa rantauan. Melalui kekuatan tulisan yang berbentuk puisi dan syair telah menemukan titik asal kaedah tersebut. Paling membanggakan manuskrip tersebut memang berasal dari tanah melayu!
Sedar atau tidak, itu berlaku sejak dahulu. Kita yang tidak memperjuangkan seni ini mengambil lewah malahan lebih memalukan apabila mengkritik sastera melayu. Perlu diingat bahawa setiap bahasa di dunia ini adalah milik pencipta, dan hanya DIA mengetahui rahsia yang terkandung dalam setiap bahasa. Kepupusan bahasa yang berlaku ini memang parah hingga kita malu untuk berbahasa sendiri di bumi sendiri. Malahan kita bangga bahasa lain menjajah bangsa kita. Melayukah kita?
Tidak kurang juga mereka yang tidak bermaruah memijak bangsa dengan bahasa sendiri. Kalian boleh melihat fenomena ini berleluasa. Aset bangsa yang mahal ini pun tidak bermakna, apa lagi khazanah yang ingin kita warisi? Kita bangga dengan kemodenan era ini, bangga dengan kemajuan dunia dan rekaan sendiri. Namun kita lupa kepada generasi akan datang, generasi yang buta sejarah dan generasi yang akan malu bila disebut sejarah bangsa.
Kita yang merancang masa depan mereka dengan idealogi yang pelbagai. Melahirkan benih yang kononnya anak ‘millenium’ kelahiran abad terkini. Kita suntik mereka dengan fikrah moden yang hanya berpaksi kepada yang nyata. Apa ada pada bahasa?
Hari ini telah lahir generasi yang kita impikan itu. Generasi yang mula membelakangkan sejarah. Generasi yang mula lupa diri. Generasi yang menentang bangsa sendiri. Catatan lama sudah ditimbus zaman. Seni bangsa sudah sudah digulung. Malahan bahasa kita sudah ditampal dengan kemodenan tamadun. Tahniah! Kita berjaya membina peradaban ini.
Tunggullah suatu masa nanti. Kita akan melihat darah bangsa menjadi gadaian. Saksikanlah!